Thursday, 19 January 2012

Kematian itu Satu Kepastian

Salam Jumaat buat semua..


Saat menulis coretan hari ini saya sebenarnya baru sahaja pulang dari melawat jenazah ayah kepada rakan baik saya yang dulunya satu sekolah dan satu universiti. Persahabatan kami terjalin utuh kerana kebetulannya kami tinggal di taman perumahan yang sama. Sewaktu zaman sekolah dan juga sewaktu di universiti malah bila sudah berumahtangga pun saya pernah dan sentiasa berkunjung ke rumah arwah. Sahabat saya ini juga terlibat dalam Alumni sejak dari peringakt awal penubuhan Alumni MM sehinggalah sekarang. Ada banyak perkara yang sering kami berkongsi bersama. Apa yang ingin saya kongsikan hari ini bukanlah kisah persahabatan, namun apa yang ingin dikongsi adalah tentang saat kematian dan kematian itu adalah sesuatu yang PASTI akan berlaku... Tiap-tiap jiwa merasakan kematian. Dan sesungguhnya pada hari Kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barang siapa dijauhkan dari neraka & dimasukkan dalam Syurga maka sesungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yg memperdayakan.” Ali-Imran : 185 


Kematian itu baik dengan apa cara sekalipun, di mana jua atas sebab musabab yang mungkin berbeza-beza namun kematian itu akan muncul jua.. sebagaimana Allah berfirman bermaksud: ” Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu di dalam benteng yg kukuh.” An-Nisa : 78. 


Memperkatakan tentang kematian pasti ramai di kalangan kita akan merasa takut dengan kematian itu, kerana takut dan terfikir adakah sudah cukup amalan yang kita perbuat selama ini? Adakah kita bakal selamat dari azab kubur dan hari kiamat.. Maka hati akan merasa insaf.. merasa begitu kerdilnya diri untuk bertemu Allah yang Maha Kuasa.. merasa banyak perkara masih belum sempurna.. Tetapi sebagai yang bergelar insan kematian itu sepatutnya memberi satu kekuatan untuk kita sentiasa beribadat dan memperuntukkankan waktu melaksanakan segala tanggungjawab yang telah di amanahkan..  Oleh itu belum terlambat wahai diri, untuk kita memperbaiki apa yang telah kita perlakukan di dunia yang sementara ini. Allah berfirman mengingatkan kita semua yang bermaksud: “Pada hari mereka melihat Qiamat, maka terasalah oleh mereka seolah-olah mereka tinggal di dunia ini melainkan hanya sepetang atau sepagi sahaja” (Surah An-Nazi’at ayat 46). 

Bagi kita yang masih bernafas dan bagi insan yang telah pergi ke alam baqa, kita sentiasa mengharap dan berdoa semoga kita ini akan tergolong dalam golongan yang menjadi kekasih Allah, yang mana kehadirannya ditunggu-tunggu.. Pemergian ke dunia abadi itu menjadi satu istirehat yang amat bermakna kita kerana di situlah kita akan mendapat kebahagiaan abadi. Firman Allah  yang bermaksud: 
"Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (disisi Tuhanmu), serta masuklah engkau ke dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia dan masuklah ke dalam syurgaKu.” al-Fajr, 27-30

Menutup coretan ringkas saya hari ini, mari sama-sama kita panjatkan doa kepada Allah moga kita akan mendapat kebaikan dunia dan kebaikan akhirat. Ya Tuhan kami berilah kami kebaikan di dunia dan akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka.”(Surah Al Baqarah: Ayat 201)
Ammeen....
Wallhuaalam.
Ummu Ieman Ihsan
20. Jan. 2012

No comments:

Post a Comment