Friday 24 February 2012

Khalifah Jiwa

Salam ukhuwwah....



Konsep Khalifah Jiwa

Lembaran perjalanan kehidupan bermula apabila insan dicipta dan dilahirkan ke dunia ini untuk memikul amanah sebagai Khalifah Allah swt di atas mukabumi. Ia dijadikan untuk memikul amanah mentadbir dan menjadi ‘hamba’ Allah dengan melakukan segalanya atas dasar KERANA ALLAH dan beribadah untukNYA. Dunia ini merupakan tapak untuk insan mengagungkan keESAan Allah, mentauhidkan Allah swt dan melakukan amar maaruf dan nahi mungkar mengikut perintah dan lunas serta larangan laranganNYA.

Terkandung didalam dirinya beban amanah (DUTIES) yang diterjemahkan dalam bentuk amalan amalan (DEEDS) dalam kehidupannya. Ini disoroti oleh hakikat keimanan kepada Allah swt melalui konsep 3i iaitu ketauhidan manusia kepadaNYA (IMAN), perlaksanaan perkara perkara ketauhidan kepadaNya (ISLAM) dan juga keikhlasannya (IHSAN) dalam melaksanakan semua perkara perkara tersebut. Hakikat ini diterjemah dalam bentuk kemandirian manusia melalui konsep ilmu (ILM) yang dengannya insan mengetahui hakikat siapa itu Tuhannya dan hakikat ilmu itu sendiri akan memandu manusia kepada Rabb nya (TuhanNya). Konsep Ilmu ini dipandu oleh wahyu Illahi dalam bentuk alQuran yang menjadi tunjang rujukan sistem nilai hakiki dari Khaliq lalu diperincikan melalui Sunnah RasulNya Muhammad saw. Inilah juga yang digelar sebagai sistem RABBANI. Ilmu yang tidak dipandu kepada sistem rabbani ini akan menyebabkan manusia melewati sempadan nilai etika dan akhlak kehidupan. Inilah kepercayaan yang menjadi sistem nilai atau “Belief System” dalam diri seseorang insan, lalu insan itu menjalani kehidupan dalam komposisi yang teratur dan saling memerlukan antara satu sama lain, yang hidup dalam masyarakat (SOCIETY) dan menggunakan alam (ENVIRONMENT) ini untuk kehidupannya.

Perkaitan manusia dengan Allah iaitu hubungannya dengan Penciptanya (HABLUM MINALLAH) menjadi tunjang kehidupan insan manakala appresiasi hubungannya dengan insan lain (HABLUM MINAN NAAS) serta alam adalah gabungan kehidupan itu sendiri. Semuanya bermotifkan keseimbangan kehidupan di dunia bagi mencapai hakikat kehidupan abadi di akhirat. Semua ini menjadi suatu gabungjalin yang utuh dalam kehidupan insan kerana tidaklah insan itu wujud dalam bentuk fizikal semata mata melainkan ia punya rupabentuk jasmani, rohani, aqal fikiran dan nafsu. Segalanya perlu tunduk dan patuh kepada Sang Pencipta sebagai manifestasi keimanan kepadaNYA. Justeru, amatlah penting untuk memahami bahawa insan itu berupa jasmani, rohani, aqal dan nafsu yang perlu diperkukuhkan perkaitannya antaranya menjadi suatu gabungan nilai yang bersepadu lalu menatijahkan konsep Khalifah Jiwa yang membentuk kerangka kehidupan manusia. 

Khalifah Jiwa adalah gabungjalin konsep yang mematuhi prinsip prinsip keimanan, ketaqwaan, keislaman dan keihsanan seorang insan dalam rupabentuk jasmani, rohani, aqal dan nafsu yang mengakar dalam hidup seorang insan lalu menjadikan ia hamba Allah yang sebenar benarnya. Jika tiadanya Khalifah Jiwa dalam diri seorang insan, maka akan hilanglah jatidiri, terumbang ambinglah kehidupan, bejatlah aqal dek kerana tewasnya ia kepada nafsu lalu melatalah kemungkaran diatas mukabumi ini kerana natijah hilangnya iman dan taqwa.

Khalifah Jiwa tuntas akan memberi sinar terang dalam kehidupan insan kerana ia menyeimbangkan semua hubungan dan komponen kehidupan insan. Ia adalah model kehidupan seimbang berdasarkan Quran dan Sunnah NabiNya. Ia membentuk AKHLAK insan dalam menjalani kehidupan di dunia ini yang akan menentukan hasilan hasilannya di akhirat kelak. Ia menentukan insan agar sentiasa dalam keadaan FITRAH, iaitu suci dalam bentuk pemahaman kehambaannya kepada Penciptanya. Insan yang punya jiwa kekhalifahan yang utuh didalam diri akanmenjadi peribadi contoh buat dirinya sendiri malah mereka yang terdekat dengannya lalu insan itu mengikuti jalur maaruf yang diredhai olehNYA yang membawa kebaikan untuk dirinya sendiri dan masyarakat. 

Semarakkan Khalifah Jiwa dalam diri, kelak kalian kan mampu Kenali Diri dan Membina Identiti serta Jatidiri......

wallahualam!



No comments:

Post a Comment