Saturday 7 January 2012

Mengapa Doa Tidak Makbul

Salam Ukhuwwah.......!

Tugas rasmi saya di setiap hujung minggu ialah mengambil anak dari  kelas tuisyen. Sambil menunggu anak keluar, layan celoteh dalam radio. Tetiba blackberry saya berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Rupanya mesej tu datang dari seorang sahabat yang memang saya cemburu dengan kejayaannya baik dari segi akademik mahupun kebahagiaan keluarganya. Dalam mesej itu, dia meminta saya agar mengongsikan sedikit bahan dalam blognya. Berkerut juga dahi memikirkan apa yang nak dikongsikan.  Memang dah agak lama tak menulis. Lagipun dulu, kalau menulis pun untuk tatapan dan simpanan sendiri sahaja. Tapi kali ini nak dikongsikan dalam blog yang dilawati oleh mereka yang amat tinggi ilmunya, bahkan ada di antara mereka adalah ikon saya sejak zaman sekolah.

Dalam hati gelabah memikirkan  apa yang nak  dikongsi, tiba-tiba terdengar dari corong radio soalan dari seorang gadis sambil teresak-esak bertanya kepada ustaz panel dalam radio mengapa doanya tidak pernah termaqbul. Lantas saya teringat, soalan yang sama pernah juga timbul dalam kepala saya. Saya juga percaya ramai juga masih tertanya tanya soalan yang sama. Ramai juga yang mungkin mengeluh kenapa doa yg mereka panjatkan sehingga kini masih belum terkabul. Dalam mencari jawapannya, saya menemui beberapa nasihat yang  saya kira boleh memberi sedikit pencerahan  dalam meruntai sebab mengapa doa kita tidak dimakbulkan:

Pertama : Doa yang tidak dimaqbulkan oleh Allah sebenarnya adalah  salah satu bentuk ujian dari Allah yang mesti kita terima dengan lapang dada serta penuh kesabaran. Firman Allah yang bermaksud: “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan (anbiya:21).

Kedua: Setiap perkara sudah di atur oleh Allah. Perkara ini perlu kita sedari dengan jelas. Tiada satu makhluk pun yang dapat mengelak dari ketentuanNya. 


Ibnu Nashiruddin al Dimasqi Rahimahullah berkata: Tidak ada seorang pun yang dapat lari dari ketentuan Allah. Tidak ada seorang pun yang mampu mengelak dari keputusan dan ujian Allah. Hanya kepunyaan Allah kerajaan dan para hambaNya. Allah berhak mengatur sesuai dengan kehendaknya dan keinginanNya (Bardul-Akbad ‘inda Faqdil Aulad)

Ketiga: Di dalamnya terdapat hikmah dan rahsia ilahi. Firman Allah:"....dan sesungguhnya Tuhanmu maha mengetahui" (Al-an'am:83) 


Allah maha Agong, mampu memberi dan menahan sesuatu. Ada rahsia dalam setiap ketentuanNya. Kadang2, terkabulnya doa akan membawa kita kepada keburukan. Allah yang mencipta hambaNya, Dialah yang paling mengetahui apa yang terbaik dan terburuk untuk hambaNya. Sesuatu yang baik pada pandangan kita belum tentu baik pada pandangan Allah dan Dia tidak akan sekali2 menzalimi hambaNya. 


Imam Ibnu Qayyim dalam "mMdarij As-Salikiin" berkata ”Ketetapan Allah bagi hambaNya yang beriman pada hakikatnya adalah pemberian walaupun kelihatannya berupa pencegahan. Dan cubaanNya adalah kebaikan walaupun kelihatan tidak menyenangkan”.

Keempat: Doa yang termakbul bukan semestinya dalam bentuk yang kita minta. Ada juga doa yang termakbul dalam bentuk terhindar dari keburukan dan doa yang Allah tangguhkan dan simpan sampai hari akhirat sebagaimana sabda Nabi saw: “Tidaklah seorang muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandung dosa dan memutus sillaturrahim melainkan Allah beri kepadanya 3 perkara: menyegerakan doanya untuk dikabulkan, atau Allah simpan untuknya diakhirat atau Allah palingkan daripadanya keburukan semisalnya” (albukhari dalam Adab al-Mufrad di sahihkan oleh Al Albani)

Keempat: Sentiasa bermuhasabah dan melihat kedalam diri kita. Barangkali masih ada dosa dan maksiat yang belum kita tinggalkan. Sekiranya ada, maka segeralah kita bertaubat kepada Allah kerana dosa termasuk dalam penghalang untuk doa dimakbulkan sebagaimana yg diingatkan oleh ulama salaf Ibnu Raja dlm kitabnya "Jamiul ulum wal ahkam”: "Tidaklah doa itu tertunda utk dikabulkan kecuali engkau telah menutup pintunya dengan maksiat”

Demikianlah sedikit yang mampu saya kongsikan dari sudut sebab umum doa tidak termakbul. Mungkin di lain waktu dan kesempatan boleh kita perincikan kan lagi dari sudut syarat dan adab berdoa yang mungkin ramai di kalangan kita abaikan. Moga perkongsian di atas memberi manfaat. Wa tafiiqi illa billah. 



Abu Nabiilah

No comments:

Post a Comment