Showing posts with label insan. Show all posts
Showing posts with label insan. Show all posts

Saturday, 20 October 2012

Jika bukan AKU siapa lagi? Hijrah DIRI

Salam muhibbah!


"Jika bukan AKU siapa lagi? Jika bukan sekarang BILA lagi?"...itulah lontaran yang saya buat kepada kira kira 100 orang peserta dalam suatu kursus yang diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang suatu ketika dahulu. Suatu lontaran yang aku gemakan buat diri dan jiwa mereka yang hadir!

Kemahuan untuk berubah dan keperluan untuk berubah adalah dua perkara berbeza. Kita perlu HIJRAH DIRI dalam apa jua keadaan dalam ruas masa yang masih ada ini, iaitu SEKARANG! Proses hijrah diri ini memerlukan daya usaha dan titik mula yang KITA sendiri tentukan! Jangan ditangguh dan jangan dibiarkan ia berlalu begitu sahaja! Kemahuan untuk berubah itu adalah asas kepada HIJRAH DIRI itu, jangan sampai tahap ia menjadi suatu KEPERLUAN untuk berubah! 

Biasanya, KEMAHUAN untuk berubah itu seolah olah lambat mendatangi hidup, malah KEPERLUAN itulah yang menjadi suatu kebiasaan dalam hidup. Lalu KEMAHUAN yang sepatutnya hadir telah bertukar menjadi KEPERLUAN untuk berubah. Dek kerana desakan dan keperluan hidup maka mahu atau tidak saat itu kita berubah! Malah dalam keadaan lain, kita sebenarnya menunggu keadaan memaksa kita lalu pada saat itu, perubahan adalah perlu. Inilah yang selalu terjadi, malah ia sering juga terjadi kepada diriku sendiri! Inilah kesilapan yang sering kita lakukan!

Berhenti sejenak! Fikirkan apa yang saya ungkapkan di atas! Adakah kita berubah kerana kemahuan diri, atau kita berubah kerana keperluan! Ia membawa natijah yang sangat berbeza. Kemahuan itu akan mencetus rasa ikhlas tanpa ada dorongan dari apapun, kerana kemahuan itu dibawa oleh ilmu, kesedaran, kefahaman yang hadir dalam sikap diri yang mahukan perubahan. Fikiran dan sikap saat itu telah tersedia untuk melakukan anjakan! Kesedaran telah tersedia ada dalam diri. Ia berbentuk hidayah dan taufik serta juga inayah!

Berbeza dengan keperluan untuk berubah, ia lebih bersifat lonjakan, ia memerlukan faktor pendorong dan selalunya MANUSIA dan INSAN itu berada dalam kelompok yang ini! Sentiasa perlukan faktor pendorong untuk berubah berbanding kemahuan diri sendiri. Jika tiada faktor pendorong maka tiadalah perubahan itu dilakukan! Nah, perhatikan 2 kelompok manusia yang MAHU BERUBAH dan sekelompok lagi yang PERLU BERUBAH! Pilihan ditangan sendiri.....

Sesungguhnya HIRAH DIRI ini sukar bagi yang tidak punya KEPERLUAN, bagi yang sentiasa berada dalam zon selesa, atau mereka yang suka dengan keadaan sedia ada! Namun, hakikatnya, berada dalam keadaan yang sama sentiasa, dalam keadaan yang biasa dan selesa tidak membawa kemana mana! Jiwa akan mati saat itu! Kedegilan memuncak! Keterikatan kepada material semakin terpateri bak besi! Ia terikat kukuh! Walhal dunia dan kehidupan tidak sebegitu! Usia bertambah adalah manifestasi perubahan! 


Perubahan sentiasa berlaku.....! Kita tidak boleh menafikan bahawa HIDUP ini ialah suatu HIJRAH! Ini kerana, yang muda akan tua, yang sihat akan sakit, yang kaya akan miskin, yang miskin akan kaya, yang sakit akan sihat, yang hidup akan mati, yang banyak akan sedikit, yang sedikit akan banyak dan berbagai lagi! Inilah perubahan yang juga dikenal sebagai dinamisme kehidupan! Itulah HIJRAH yang sentiasa berlaku dalam kehidupan! Namun, dalam konteks bicara ini, hijrah yang dimaksudkan ialah HIJRAH DIRI, dari seorang yang sebegini lalu berhijrah menjadi sebegitu.....dari yang buruk kepada yang baik, dari yang baik menjadi lebih baik!

Proses ini memerlukan landas ilmu dan pemikiran! Perubahan yang bagaimana? Tentunya ia perubahan yang dituntut oleh ALLAH yang MAHA PENCIPTA....untuk apa? Lalu apabila soalan soalan itu muncul maka kembalilah kepada asasnya iaitu tanyalah soalan mengapa AKU dicipta dan dihidupkan....tiada jawapan lain bukan? Tentunya jawapannya telah tersedia ada di dalam wahyuNYA yang agung! AKU HIDUP RUPANYA IALAH UNTUK BERIBADAH KEPADA ALLAH SWT! Inilah jawapan yang Allah beri! Kerana sebagai insan, kita tidak mampu utk mencipta jawapan lain! Ini kerana kita bukan tercipta sendiri "out of nothing'...ini kerana kita dicipta. Siapa pencipta? ALLAH yang MAHA AGUNG yang mencipta kita! Justeru, ia adalah justifikasi mengapa kita perlu tanyakan mengapa kita dicipta! Dan justifikasi yang samalah yang membenarkan jawapan Sang Pencipta! Maksudnya, hanya yang mencipta sahaja yang tahu mengapa yg dicipta itu lahir ke dunia dan hidup pada hari ini! Benar bukan??


Seolah olah sebagai contohnya, hanya kalian sahaja yang tahu mengapa sesuatu resipi makanan itu dicipta, tentunya untuk kalian makan! Walhal makanan itu tidak tahu menahu mengapa ia dicipta sedemikian rupa! Bezanya antara makanan dan INSAN ialah, kita diberi AQAL yang mampu membuat diri berfikir dan bertanya! Mempersoal dan menganalisa, agar ilmu dan kefahaman itu hadir lalu terjawaplah mengapa INSAN DICIPTA DAN DILAHIRKAN KE DUNIA INI!

Inilah asas mengapa kita perlu HIJRAH DIRI! Transformasi inilah yang diperlukan, kesedaran inilah yang dimahukan, kemahuan inilah yang didambakan dalam proses kita melakukan HIJRAH DIRI! Kita bina khalifah jiwa dalam diri dengan ilmu dan kefahaman bahawa kehidupan adalah suatu perjalanan menemui Sang Khaliq, YANG MAHA PENCIPTA!

HIJRAH LAH DIRI, Jika bukan sekarang bila lagi? jika bukan AKU siapa lagi? Ayuh kita hijrahkan diri!




Wednesday, 18 January 2012

RahmatNYA kita damba!


Salam ukhuwwah!

Jika kita lihat keadaan umat Islam pada hari ini, kalian akan melihat betapa rapuhnya kesatuan umat. Ia umpama barah yang menimpa umat Islam, tidak pernah sembuh malah semakin membarah dalam kehidupan umat Islam. Kita berpecah antara satu sama lain. Kita bermusuhan, berbeza pendapat dan memutuskan hubungan antara satu sama lain. Ini ditambah pula dengan wujudnya laman sesawang dan laman sosial seperti Facebook, MySpace, blog dan lain lain lagi menyebabkan proses komunikasi menjadi lebih pesat dan pantas lantas membuatkan fitnah berleluasa dengan pantas. Ini memberi kesan komunikasi sesama apabila aspek akhlak, adab dan moral, dalam hubungan sesama tidak diberi perhatian. Seolah olah kita umat Islam hari ini sudah terputus rahmat Illahi, hatta dalam berbagai senario kita berbalahan antara satu sama lain. Ada bermacam sebab mengapa kita tidak mendapat rahmat Allah. Namun ingin saya nyatakan dahulu, apa maksud tidak mendapat rahmat Allah!

Umat Islam tidak mendapat rahmat Allah dalam keadaan dimana:

1. Islam agama penyatuan, solat berjemaah, solat Jumaat, berihram dan tawaf adalah antara manifestasi kesatuan ummah, namun, peliknya, sehingga hari ini kita masih 'berpecah', tidak sependapat hatta sehingga perkara perkara yang sekecil kecilnya!

2. Kita mengata sesama sendiri, menyindir, menghina, mengutuk, menuduh satu sama lain, kita 'bermain' fitnah antara satu sama lain...saling berbalas balas kata antara kedua pihak, malah 'permainan' ini dimainkan dengan watak berbeza, tahap berbeza, walhal masing masing mengaku beriman, muslim, solat, berzakah, dan sebagainya!

3. Kita tidak dihormati oleh orang lain, bangsa lain, oleh orang kafir. Maruah kita diinjak injak. Kita 'menunduk' dengan mereka. Mereka pula mempermainkan kita. Kita hilang maruah, kemuliaan, penghormatan, malah hilang jati diri!

4. Hari ini, antara menjadi seorang Islam(muslim) dan kafir, tiada apa yang membezakan antara kita dan mereka. Perangai, sikap, kelakuan, gaya hidup, pakaian malah tutur kata kita hampir sama! Seolah olah tiada bezanya menjadi seorang islam mahupun kafir! Kita masih tercangak di kedai kedai, restoran restoran, saat masuknya waktu solat, malah kita seperti tiada rasa 'urgency' untuk menunaikan tanggungjawab kepadaNya lalu menuruti perintahNya. Kita utamakan perkara lain, mendahulukan yang kita akan tinggalkan dan meninggalkan yang akan pasti kita bawa!

bersambung.....! perlu seketika utk merehatkan minda!

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Harus dimengerti....!


Salam ukhuwwah!

Saya menulis, saya berkongsi dengan kalian,
apa yg saya fahami, apa yang saya ketahui,
agar ia menjadi peringatan buat diri dan kalian semua!
Ini kerana saya memahami lalu menghalusi
bahawa hidup ini tiada erti jika diri tidak mampu untuk berkongsi
dan melakukan manfaat buat diri
dan orang lain dalam apa jua cara yang murni
demi kerana ia tuntutan illahi!

Sekurang kurangnya, apabila diri ini tiada lagi,
dihadapanmu Illahi,
aku mampu mengungkap Ya Rabbi,
aku telah melakukan itu dan ini, mengajak mereka memahami,
dan menginsafi diri,
walau aku tidaklah segalanya mengerti, namun aku cuba mengikuti jalan dan laluan Nabimu, Ya Rabbi!

Kerna dia contoh buat diri,
Jalan jalan apa yg mampu ku ikuti,
Sepenuh daya dan upaya ku ini
Agar dia kan menjadi saksi
Bahawa aku ini telah meneladani dan mengikuti
Cebis cebis peninggalan qudwah hidup ini
Lalu ku sebarkan seluasnya yang pasti
Buat teman, sahabat, jiran, keluarga, anak2 dan isteri
Agar sedikit manapun ia mampu menjadi suri
Buat kompas agar kalian kenal diri
Lalu hidup menjadi lebih bererti
Di dunia mahupun di akhirat nanti!

Wallahua'lam!

Ku nukilkan saat menanti nombor giliranku dipanggil di Bank Rakyat Seksyen 9....

Saturday, 7 January 2012

Mengapa Doa Tidak Makbul

Salam Ukhuwwah.......!

Tugas rasmi saya di setiap hujung minggu ialah mengambil anak dari  kelas tuisyen. Sambil menunggu anak keluar, layan celoteh dalam radio. Tetiba blackberry saya berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Rupanya mesej tu datang dari seorang sahabat yang memang saya cemburu dengan kejayaannya baik dari segi akademik mahupun kebahagiaan keluarganya. Dalam mesej itu, dia meminta saya agar mengongsikan sedikit bahan dalam blognya. Berkerut juga dahi memikirkan apa yang nak dikongsikan.  Memang dah agak lama tak menulis. Lagipun dulu, kalau menulis pun untuk tatapan dan simpanan sendiri sahaja. Tapi kali ini nak dikongsikan dalam blog yang dilawati oleh mereka yang amat tinggi ilmunya, bahkan ada di antara mereka adalah ikon saya sejak zaman sekolah.

Dalam hati gelabah memikirkan  apa yang nak  dikongsi, tiba-tiba terdengar dari corong radio soalan dari seorang gadis sambil teresak-esak bertanya kepada ustaz panel dalam radio mengapa doanya tidak pernah termaqbul. Lantas saya teringat, soalan yang sama pernah juga timbul dalam kepala saya. Saya juga percaya ramai juga masih tertanya tanya soalan yang sama. Ramai juga yang mungkin mengeluh kenapa doa yg mereka panjatkan sehingga kini masih belum terkabul. Dalam mencari jawapannya, saya menemui beberapa nasihat yang  saya kira boleh memberi sedikit pencerahan  dalam meruntai sebab mengapa doa kita tidak dimakbulkan:

Pertama : Doa yang tidak dimaqbulkan oleh Allah sebenarnya adalah  salah satu bentuk ujian dari Allah yang mesti kita terima dengan lapang dada serta penuh kesabaran. Firman Allah yang bermaksud: “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan (anbiya:21).

Kedua: Setiap perkara sudah di atur oleh Allah. Perkara ini perlu kita sedari dengan jelas. Tiada satu makhluk pun yang dapat mengelak dari ketentuanNya. 


Ibnu Nashiruddin al Dimasqi Rahimahullah berkata: Tidak ada seorang pun yang dapat lari dari ketentuan Allah. Tidak ada seorang pun yang mampu mengelak dari keputusan dan ujian Allah. Hanya kepunyaan Allah kerajaan dan para hambaNya. Allah berhak mengatur sesuai dengan kehendaknya dan keinginanNya (Bardul-Akbad ‘inda Faqdil Aulad)

Ketiga: Di dalamnya terdapat hikmah dan rahsia ilahi. Firman Allah:"....dan sesungguhnya Tuhanmu maha mengetahui" (Al-an'am:83) 


Allah maha Agong, mampu memberi dan menahan sesuatu. Ada rahsia dalam setiap ketentuanNya. Kadang2, terkabulnya doa akan membawa kita kepada keburukan. Allah yang mencipta hambaNya, Dialah yang paling mengetahui apa yang terbaik dan terburuk untuk hambaNya. Sesuatu yang baik pada pandangan kita belum tentu baik pada pandangan Allah dan Dia tidak akan sekali2 menzalimi hambaNya. 


Imam Ibnu Qayyim dalam "mMdarij As-Salikiin" berkata ”Ketetapan Allah bagi hambaNya yang beriman pada hakikatnya adalah pemberian walaupun kelihatannya berupa pencegahan. Dan cubaanNya adalah kebaikan walaupun kelihatan tidak menyenangkan”.

Keempat: Doa yang termakbul bukan semestinya dalam bentuk yang kita minta. Ada juga doa yang termakbul dalam bentuk terhindar dari keburukan dan doa yang Allah tangguhkan dan simpan sampai hari akhirat sebagaimana sabda Nabi saw: “Tidaklah seorang muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandung dosa dan memutus sillaturrahim melainkan Allah beri kepadanya 3 perkara: menyegerakan doanya untuk dikabulkan, atau Allah simpan untuknya diakhirat atau Allah palingkan daripadanya keburukan semisalnya” (albukhari dalam Adab al-Mufrad di sahihkan oleh Al Albani)

Keempat: Sentiasa bermuhasabah dan melihat kedalam diri kita. Barangkali masih ada dosa dan maksiat yang belum kita tinggalkan. Sekiranya ada, maka segeralah kita bertaubat kepada Allah kerana dosa termasuk dalam penghalang untuk doa dimakbulkan sebagaimana yg diingatkan oleh ulama salaf Ibnu Raja dlm kitabnya "Jamiul ulum wal ahkam”: "Tidaklah doa itu tertunda utk dikabulkan kecuali engkau telah menutup pintunya dengan maksiat”

Demikianlah sedikit yang mampu saya kongsikan dari sudut sebab umum doa tidak termakbul. Mungkin di lain waktu dan kesempatan boleh kita perincikan kan lagi dari sudut syarat dan adab berdoa yang mungkin ramai di kalangan kita abaikan. Moga perkongsian di atas memberi manfaat. Wa tafiiqi illa billah. 



Abu Nabiilah