Showing posts with label Asam Garam. Show all posts
Showing posts with label Asam Garam. Show all posts

Thursday, 19 January 2012

Kematian itu Satu Kepastian

Salam Jumaat buat semua..


Saat menulis coretan hari ini saya sebenarnya baru sahaja pulang dari melawat jenazah ayah kepada rakan baik saya yang dulunya satu sekolah dan satu universiti. Persahabatan kami terjalin utuh kerana kebetulannya kami tinggal di taman perumahan yang sama. Sewaktu zaman sekolah dan juga sewaktu di universiti malah bila sudah berumahtangga pun saya pernah dan sentiasa berkunjung ke rumah arwah. Sahabat saya ini juga terlibat dalam Alumni sejak dari peringakt awal penubuhan Alumni MM sehinggalah sekarang. Ada banyak perkara yang sering kami berkongsi bersama. Apa yang ingin saya kongsikan hari ini bukanlah kisah persahabatan, namun apa yang ingin dikongsi adalah tentang saat kematian dan kematian itu adalah sesuatu yang PASTI akan berlaku... Tiap-tiap jiwa merasakan kematian. Dan sesungguhnya pada hari Kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barang siapa dijauhkan dari neraka & dimasukkan dalam Syurga maka sesungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yg memperdayakan.” Ali-Imran : 185 


Kematian itu baik dengan apa cara sekalipun, di mana jua atas sebab musabab yang mungkin berbeza-beza namun kematian itu akan muncul jua.. sebagaimana Allah berfirman bermaksud: ” Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu di dalam benteng yg kukuh.” An-Nisa : 78. 


Memperkatakan tentang kematian pasti ramai di kalangan kita akan merasa takut dengan kematian itu, kerana takut dan terfikir adakah sudah cukup amalan yang kita perbuat selama ini? Adakah kita bakal selamat dari azab kubur dan hari kiamat.. Maka hati akan merasa insaf.. merasa begitu kerdilnya diri untuk bertemu Allah yang Maha Kuasa.. merasa banyak perkara masih belum sempurna.. Tetapi sebagai yang bergelar insan kematian itu sepatutnya memberi satu kekuatan untuk kita sentiasa beribadat dan memperuntukkankan waktu melaksanakan segala tanggungjawab yang telah di amanahkan..  Oleh itu belum terlambat wahai diri, untuk kita memperbaiki apa yang telah kita perlakukan di dunia yang sementara ini. Allah berfirman mengingatkan kita semua yang bermaksud: “Pada hari mereka melihat Qiamat, maka terasalah oleh mereka seolah-olah mereka tinggal di dunia ini melainkan hanya sepetang atau sepagi sahaja” (Surah An-Nazi’at ayat 46). 

Bagi kita yang masih bernafas dan bagi insan yang telah pergi ke alam baqa, kita sentiasa mengharap dan berdoa semoga kita ini akan tergolong dalam golongan yang menjadi kekasih Allah, yang mana kehadirannya ditunggu-tunggu.. Pemergian ke dunia abadi itu menjadi satu istirehat yang amat bermakna kita kerana di situlah kita akan mendapat kebahagiaan abadi. Firman Allah  yang bermaksud: 
"Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (disisi Tuhanmu), serta masuklah engkau ke dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia dan masuklah ke dalam syurgaKu.” al-Fajr, 27-30

Menutup coretan ringkas saya hari ini, mari sama-sama kita panjatkan doa kepada Allah moga kita akan mendapat kebaikan dunia dan kebaikan akhirat. Ya Tuhan kami berilah kami kebaikan di dunia dan akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka.”(Surah Al Baqarah: Ayat 201)
Ammeen....
Wallhuaalam.
Ummu Ieman Ihsan
20. Jan. 2012

Wednesday, 18 January 2012

RahmatNYA kita damba!


Salam ukhuwwah!

Jika kita lihat keadaan umat Islam pada hari ini, kalian akan melihat betapa rapuhnya kesatuan umat. Ia umpama barah yang menimpa umat Islam, tidak pernah sembuh malah semakin membarah dalam kehidupan umat Islam. Kita berpecah antara satu sama lain. Kita bermusuhan, berbeza pendapat dan memutuskan hubungan antara satu sama lain. Ini ditambah pula dengan wujudnya laman sesawang dan laman sosial seperti Facebook, MySpace, blog dan lain lain lagi menyebabkan proses komunikasi menjadi lebih pesat dan pantas lantas membuatkan fitnah berleluasa dengan pantas. Ini memberi kesan komunikasi sesama apabila aspek akhlak, adab dan moral, dalam hubungan sesama tidak diberi perhatian. Seolah olah kita umat Islam hari ini sudah terputus rahmat Illahi, hatta dalam berbagai senario kita berbalahan antara satu sama lain. Ada bermacam sebab mengapa kita tidak mendapat rahmat Allah. Namun ingin saya nyatakan dahulu, apa maksud tidak mendapat rahmat Allah!

Umat Islam tidak mendapat rahmat Allah dalam keadaan dimana:

1. Islam agama penyatuan, solat berjemaah, solat Jumaat, berihram dan tawaf adalah antara manifestasi kesatuan ummah, namun, peliknya, sehingga hari ini kita masih 'berpecah', tidak sependapat hatta sehingga perkara perkara yang sekecil kecilnya!

2. Kita mengata sesama sendiri, menyindir, menghina, mengutuk, menuduh satu sama lain, kita 'bermain' fitnah antara satu sama lain...saling berbalas balas kata antara kedua pihak, malah 'permainan' ini dimainkan dengan watak berbeza, tahap berbeza, walhal masing masing mengaku beriman, muslim, solat, berzakah, dan sebagainya!

3. Kita tidak dihormati oleh orang lain, bangsa lain, oleh orang kafir. Maruah kita diinjak injak. Kita 'menunduk' dengan mereka. Mereka pula mempermainkan kita. Kita hilang maruah, kemuliaan, penghormatan, malah hilang jati diri!

4. Hari ini, antara menjadi seorang Islam(muslim) dan kafir, tiada apa yang membezakan antara kita dan mereka. Perangai, sikap, kelakuan, gaya hidup, pakaian malah tutur kata kita hampir sama! Seolah olah tiada bezanya menjadi seorang islam mahupun kafir! Kita masih tercangak di kedai kedai, restoran restoran, saat masuknya waktu solat, malah kita seperti tiada rasa 'urgency' untuk menunaikan tanggungjawab kepadaNya lalu menuruti perintahNya. Kita utamakan perkara lain, mendahulukan yang kita akan tinggalkan dan meninggalkan yang akan pasti kita bawa!

bersambung.....! perlu seketika utk merehatkan minda!

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Harus dimengerti....!


Salam ukhuwwah!

Saya menulis, saya berkongsi dengan kalian,
apa yg saya fahami, apa yang saya ketahui,
agar ia menjadi peringatan buat diri dan kalian semua!
Ini kerana saya memahami lalu menghalusi
bahawa hidup ini tiada erti jika diri tidak mampu untuk berkongsi
dan melakukan manfaat buat diri
dan orang lain dalam apa jua cara yang murni
demi kerana ia tuntutan illahi!

Sekurang kurangnya, apabila diri ini tiada lagi,
dihadapanmu Illahi,
aku mampu mengungkap Ya Rabbi,
aku telah melakukan itu dan ini, mengajak mereka memahami,
dan menginsafi diri,
walau aku tidaklah segalanya mengerti, namun aku cuba mengikuti jalan dan laluan Nabimu, Ya Rabbi!

Kerna dia contoh buat diri,
Jalan jalan apa yg mampu ku ikuti,
Sepenuh daya dan upaya ku ini
Agar dia kan menjadi saksi
Bahawa aku ini telah meneladani dan mengikuti
Cebis cebis peninggalan qudwah hidup ini
Lalu ku sebarkan seluasnya yang pasti
Buat teman, sahabat, jiran, keluarga, anak2 dan isteri
Agar sedikit manapun ia mampu menjadi suri
Buat kompas agar kalian kenal diri
Lalu hidup menjadi lebih bererti
Di dunia mahupun di akhirat nanti!

Wallahua'lam!

Ku nukilkan saat menanti nombor giliranku dipanggil di Bank Rakyat Seksyen 9....

Friday, 13 January 2012

Tuhanku! Apakah daku telah kembali kepadamu?

Kita sering mendengar cerita orang itu dan orang ini kembali kepada Islam. Cerita orang tertentu ‘kembali kepada Islam’ kadangkala boleh dikomersialkan, terutama apabila dia ternama atau selebriti. Mungkin majlisnya bertambah meriah. Bayaran bertambah tinggi. Sorak sorai makin menghilai. Tepukan makin gemuruh.

Kita wajar bertanya: “Apakah maksud seseorang kembali kepada Allah? Ini satu persoalan yang kelihatan mudah tetapi kadangkala bukan senang untuk benar-benar mengerti hakikatnya. Apabila lambang-lambang agama itu boleh menghasilkan kepentingan dunia, maka soalan ini makin sukar dijawab. Ramai orang yang ingin menggunakan agama bukan kerana dia mencari Tuhan, tetapi kerana agama boleh menjadi jambatan meraih banyak kepentingan duniawi dalam kehidupan ini.

Seorang pesalah yang penuh jenayah ke mahkamah dengan memakai kopiah, apakah itu bererti dia kembali kepada Allah? Seorang penyanyi yang memakai kopiah atau ‘baju melayu’, apakah itu bererti dia telah kembali kepada Allah? Seorang peniaga yang meletakkan ayat-ayat al-Quran di dinding kedainya, apakah dia telah kembali kepada Allah? Seorang yang telah menukar beberapa perkataan hariannya kepada perkataan arab seperti ana, enta, akhi, ukhti, jamaah dan lain-lain, apakah dia telah kembali kepada Allah. Seorang yang menyertai organisasi atau parti yang berlambangkan agama, apakah dia telah kembali kepada Allah? Bahkan seseorang yang mengikut kawan-kawan hadir ke kuliah agama disebabkan tawa-senda riang gembira yang didendangkan oleh penceramah, apakah dia telah kembali kepada Allah?

Kesemua persoalan ini sukar dijawab melainkan oleh diri insan yang berubah itu. Apakah perubahannya itu satu manifestasi ketulusan jiwa yang dahagakan redha dan cinta Tuhan, ataupun itu satu trend yang mempunyai keseronokan yang tersendiri, ataupun satu tindakan yang mempunyai kepentingan duniawi yang tertentu.

Al-Inabah


Perkataan kembali kepada Tuhan disebut sebagai al-inabah ataupun kembali kepada Allah. Al-Quran sering menyeru manusia agar berinabah kepada Allah dan menzahirkan manifestasi tersebut dalam bentuk penghayatan. Firman Allah: (maksudnya) “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan berinabahlah (kembalilah) kamu kepada Tuhan kamu, serta serahlah diri kepadaNya, sebelum datang kepada kamu azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan”.

Insan kembali kepada Allah apabila merasakan diri tersesat ataupun berdosa. Dia hanya mengharapkan keampunan dan keselamatannya apabila bertemu Allah nanti. Mencari sakinah atau ketenangan roh di dunia dan kelazatan hidup di akhirat. Dia tidak kembali kepada Allah sebagai satu ‘pameran’ untuk menyukakan perasaan orang lain atau mengaut satu keuntungan atas tiket al-Inabah. Sama sekali tidak! Jika itu berlaku, hakikatnya dia tidak kembali kepada Allah. Inilah yang Nabi s.a.w tegaskan semasa hijrah. Soal keikhlasan jiwa insan yang berhijrah atas nama Tuhan. Mungkin petunjuk zahir kelihatan sama di mata awam, namun hakikat di sisi Allah berbeza. Justeru Nabi s.a.w menyebut: “Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan rasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan rasulNya. Sesiapa yang hijrahnya mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Ikhlas

Maka, perkara maha utama dalam agama ini ialah soal keikhlasan insan terhadap tuhannya. Ia adalah perkara rohani yang paling ramai manusia gagal menunaikannya. Bukan sahaja orang jahil yang gagal dalam menanganinya, telah gagal juga orang alim. Bukan sahaja gagal para penceramah agama, telah gagal juga para mujahid yang berperang di jalan Allah. Bukan sahaja telah gagal mereka yang membaca buku biasa, tetapi telah gagal mereka yang membaca al-Quran. Bukan sahaja telah gagal penderma kecil, tetapi telah gagal juga penderma yang besar.

Sabda Nabi s.a.w: “Orang yang awal dibicarakan pada Hari Kiamat seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah berperang keranaMU sehingga syahid”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau berperang supaya engkau dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.  

Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca al-Quran supaya engkau dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan padamu”.  Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Datang pula seorang yang Allah luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia? Dia menjawab: “Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajah sehingga dihumbankan ke dalam neraka. (riwayat Muslim).

Hadis ini sangat merunsingkan kita semua. Demikianlah besarnya peranan ikhlas. Sejauhmana pun manusia memuji kita, tiada ertinya jika amalan kita ini tidak dinilai ikhlas di sisi Allah. Hakikat yang mesti direnung oleh setiap insan tentang dirinya: siapakah aku ini di sisi Tuhanku?”. Segala ceramah, pakaian agama, bahasa yang ‘berbunyi’ agama, lambang yang ‘bercorak agama’ dan segalanya itu tiada apa-apa erti jika seseorang itu ditolak keikhlasan oleh Allah. Syaitan boleh menukar niat yang murni menjadi bongkak dan riyak. Akhirnya berguguran pahala bagaikan daun yang kering. Ya Allah! Betapa kami takut hal itu. Ampunilah kami, curahkan keikhlasan ke dalam nurani ini.

Mencari Tuhan

asri 01Saya tersentuh membaca coretan Naima B. Robert dalam ‘From My Sisters’  Lips’. Karya menarik tentang pengembaraan dirinya dan wanita lain dari alam kesesatan kepada Islam. Beliau mencatatkan betapa wanita di UK yang menemui Islam mempunyai pelbagai latarbelakang yang tersendiri. Berubah sekalipun terpaksa berkorban hidup dalam masyarakat seperti UK yang minoriti muslim. Keikhlasan membawa mereka kepada Tuhan.

Saya ingin memetik ungkapan beliau: “As i read through the few stories I have collected, I am reminded of their value: they show the universal appeal of Islam. The sheer diversity of the backgrounds and life experiences that characterize the sisters in this book show that Islam can speak to anyone...they each have their own unique personality, their own voice. They were arch feminists, African nationalists, underground anarchists, music moguls, rock rebels, disco queens, devoted church-goers, designers, athletes, models, singer career girls, Masters students, cultural Muslims, Christians, Sikhs, atheists, from every racial backgrounds and all ages. And, most unexpectedly, Islam was able to reach out to each of them, to settle in their hearts and speak to every one of them in a personel way, giving them the answers they were looking for and changing their lives for ever”. (pg 98).


Ya, ramai yang telah kembali kepada Tuhan. Mencari kebenaran bukan untuk pameran kebanggaan atau komersial yang mendatang faedah duniawi seperti yang berlaku di sesetengah tempat, tetapi untuk diri sendiri. Ya, boleh dikongsi untuk pengajaran, bukan mengaut kekayaan. Kembali insan kepada Tuhan ialah kepada tauhid yang hakiki dan murni. Menjadikan Allah sebagai paksi kehidupan. Inilah perkara penting yang perlu difahami oleh setiap muslim. Indahnya Islam ini kerana ia membuka hubungan langsung antara hamba dengan tuhannya. Tauhid yang kudus dan penuh murni. Tiada perantaraan paderi atau ustaz atau pun wali atau siapa sahaja dalam hubungan terus insan dan Tuhan.

Malangnya, sesetengah golongan agama suka mengambil kesempatan atas kejahilan manusia lalu cuba menjadi orang tengah yang mendapat komisyen. Sekali lagi saya ingin memetik apa yang Robert coretkan dalam ‘From My Sisters’ Lips’: “...to worship God alone. This is the cornerstone of the Islamic faith: tawheed –pure and unadulterated monotheism. The Islamic lifestyle revolves around the worship of the Creator alone, without any partners. There are no intermediaries: no all-powerful clergy, no confessional priests, no saints to be called upon, no prophets to be sacrificed to, no deities to be appeased, no ancestors to be consulted...The depth and comprehensiveness of Islamic monotheism blew my mind. I could not think of another belief system that kept worship uniquely and solely for God alone”. (pg 101).

Kita semua perlu kembali kepada Tuhan. Kita semua sering melakukan dosa. Tidak kira siapa kita. Kita kembali kepada Tuhan untuk mentauhidkannya dan mendapat keampunan serta hidayahnya. Tidak untuk selain itu. Maka wajar kita sering bertanya: “Siapakah daku di sisi Tuhanku? Wahai Tuhan apakah aku telah kembali kepadaMU


dipetik dari http://www.malaysiakini.com/author? l=my&c=news&n=Prof%20Madya%20Dr%20Mohd%20Asri%20Zainul%20Abidin

Saturday, 7 January 2012

Mengapa Doa Tidak Makbul

Salam Ukhuwwah.......!

Tugas rasmi saya di setiap hujung minggu ialah mengambil anak dari  kelas tuisyen. Sambil menunggu anak keluar, layan celoteh dalam radio. Tetiba blackberry saya berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Rupanya mesej tu datang dari seorang sahabat yang memang saya cemburu dengan kejayaannya baik dari segi akademik mahupun kebahagiaan keluarganya. Dalam mesej itu, dia meminta saya agar mengongsikan sedikit bahan dalam blognya. Berkerut juga dahi memikirkan apa yang nak dikongsikan.  Memang dah agak lama tak menulis. Lagipun dulu, kalau menulis pun untuk tatapan dan simpanan sendiri sahaja. Tapi kali ini nak dikongsikan dalam blog yang dilawati oleh mereka yang amat tinggi ilmunya, bahkan ada di antara mereka adalah ikon saya sejak zaman sekolah.

Dalam hati gelabah memikirkan  apa yang nak  dikongsi, tiba-tiba terdengar dari corong radio soalan dari seorang gadis sambil teresak-esak bertanya kepada ustaz panel dalam radio mengapa doanya tidak pernah termaqbul. Lantas saya teringat, soalan yang sama pernah juga timbul dalam kepala saya. Saya juga percaya ramai juga masih tertanya tanya soalan yang sama. Ramai juga yang mungkin mengeluh kenapa doa yg mereka panjatkan sehingga kini masih belum terkabul. Dalam mencari jawapannya, saya menemui beberapa nasihat yang  saya kira boleh memberi sedikit pencerahan  dalam meruntai sebab mengapa doa kita tidak dimakbulkan:

Pertama : Doa yang tidak dimaqbulkan oleh Allah sebenarnya adalah  salah satu bentuk ujian dari Allah yang mesti kita terima dengan lapang dada serta penuh kesabaran. Firman Allah yang bermaksud: “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan (anbiya:21).

Kedua: Setiap perkara sudah di atur oleh Allah. Perkara ini perlu kita sedari dengan jelas. Tiada satu makhluk pun yang dapat mengelak dari ketentuanNya. 


Ibnu Nashiruddin al Dimasqi Rahimahullah berkata: Tidak ada seorang pun yang dapat lari dari ketentuan Allah. Tidak ada seorang pun yang mampu mengelak dari keputusan dan ujian Allah. Hanya kepunyaan Allah kerajaan dan para hambaNya. Allah berhak mengatur sesuai dengan kehendaknya dan keinginanNya (Bardul-Akbad ‘inda Faqdil Aulad)

Ketiga: Di dalamnya terdapat hikmah dan rahsia ilahi. Firman Allah:"....dan sesungguhnya Tuhanmu maha mengetahui" (Al-an'am:83) 


Allah maha Agong, mampu memberi dan menahan sesuatu. Ada rahsia dalam setiap ketentuanNya. Kadang2, terkabulnya doa akan membawa kita kepada keburukan. Allah yang mencipta hambaNya, Dialah yang paling mengetahui apa yang terbaik dan terburuk untuk hambaNya. Sesuatu yang baik pada pandangan kita belum tentu baik pada pandangan Allah dan Dia tidak akan sekali2 menzalimi hambaNya. 


Imam Ibnu Qayyim dalam "mMdarij As-Salikiin" berkata ”Ketetapan Allah bagi hambaNya yang beriman pada hakikatnya adalah pemberian walaupun kelihatannya berupa pencegahan. Dan cubaanNya adalah kebaikan walaupun kelihatan tidak menyenangkan”.

Keempat: Doa yang termakbul bukan semestinya dalam bentuk yang kita minta. Ada juga doa yang termakbul dalam bentuk terhindar dari keburukan dan doa yang Allah tangguhkan dan simpan sampai hari akhirat sebagaimana sabda Nabi saw: “Tidaklah seorang muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandung dosa dan memutus sillaturrahim melainkan Allah beri kepadanya 3 perkara: menyegerakan doanya untuk dikabulkan, atau Allah simpan untuknya diakhirat atau Allah palingkan daripadanya keburukan semisalnya” (albukhari dalam Adab al-Mufrad di sahihkan oleh Al Albani)

Keempat: Sentiasa bermuhasabah dan melihat kedalam diri kita. Barangkali masih ada dosa dan maksiat yang belum kita tinggalkan. Sekiranya ada, maka segeralah kita bertaubat kepada Allah kerana dosa termasuk dalam penghalang untuk doa dimakbulkan sebagaimana yg diingatkan oleh ulama salaf Ibnu Raja dlm kitabnya "Jamiul ulum wal ahkam”: "Tidaklah doa itu tertunda utk dikabulkan kecuali engkau telah menutup pintunya dengan maksiat”

Demikianlah sedikit yang mampu saya kongsikan dari sudut sebab umum doa tidak termakbul. Mungkin di lain waktu dan kesempatan boleh kita perincikan kan lagi dari sudut syarat dan adab berdoa yang mungkin ramai di kalangan kita abaikan. Moga perkongsian di atas memberi manfaat. Wa tafiiqi illa billah. 



Abu Nabiilah

Thursday, 5 January 2012

Diri Kita Umpama Cermin

Diri adalah cermin, betulkah begitu? Ya saya amat-amat percaya diri kita adalah cermin keperibadian kita. Sama juga dengan orang-orang yang hampir dengan kita. Mereka juga merupakan cermin kepada diri kita. Ini mengingatkan saya kepada pepatah Arab yang mengatakan "ashabina miraatullana" yang bermaksud sahabat kita adalah cermin diri kita"

Pada hemat saya bukan sekadar sahabat kita menjadi cermin kepada diri kita tetapi sikap dan keperibadian yang kita tonjolkan juga menjadi cermin kepada dalaman diri kita. maka dengan kepercayaan itu, ia menjadi satu peringatan buat diri sendiri terutama dalam kontkes membina dan mentarbiyah anak-anak atau meneladani orang lain disekeliling kita.

Cermin diri ini amat penting kerana apa yang kita portray kepada anak-anak maka itulah yang akan mereka pelajari dan ikuti. maka ibu bapa sebenarnya adalah satu cermin yang sentiasa terpamer kepada anak-anak. Mungkin jika kita katakan bahawa anak-anak berjauhan dari kita misalnya, namun percayalah aura kebaikan yang kita berikan biarpun kepada orang lain namun ia akan terpercik kepada anak-anak kita. jadi begitulah sebaliknya, jika kejahatan yang kita lakukan maka tidak mustahil anak-anak kita boleh melakukan perkara yang sama. i(ni tidak semestinya kepada anak-anak, ia juga boleh diaplikasikan kepada rakan, jiran, orang-orang yang ada disekeliling kita). Saya seringkali mengatakan bahawa..."kita adalah apa yang kita beri pada kehidupan kita" .Ia seperti satu karma, namun dalam Islam kita percaya bahawa kebaikan yang dilakukan pasti akan dibalas dengan kebaikan maka begitulah sebaliknya. Jika tidak didunia pasti kita akan mendapat balasannya di akhirat nanti.

Oleh itu cermin bagaimana yang ingin kita tonjolkan kepada orang yang kita sayangi? Adakah kita ingin melihat orang yang di dalam cermin itu memnpunyai dua personalti yang berbeza walapun secara zahirnya sama dan serupa. Atau kita ingin menxzahirkan bahawa jika cantik orang yang berdiri dihadapan cermin maka secantik itu juga dalamannya. Dan jika pada cermin itu dilihat pada kaca mata orang lain tidak cantik tetapi dalamamnya begitu indah sekali yang hanya Dia yang mampu menilainya...

Bagi memahami yang tersirat disebalik cermin diri...pengakhir bicara saya pada Jumaat yang mulia ini, marilah kita sama-sama menjadi cermin yang terbaik buat orang-orang sekeliling kita. Jangan menjadi cermin yang terserpih hingga membias beribu wajah...

Wednesday, 4 January 2012

Mensyukuri Nikmat Kesihatan

Kenapa Aku Diuji Begini?
Bagi seseorang yang merasa diri sihat sudah pasti apabila mendapat berita ditimpa musibah penyakit pastinya akan terdetik pada diri kenapa aku yang diuji? Sebagai inidividu kita pastinya akan merasa sedih apalagi jika penyakit itu datang saat kita tidak bersedia untuk menghadapinya. Kita merasa begitu tidak adil dengan takdir yang menimpa kita, apatah lagi jika kita merasa diri kita masih muda, kita masih punya upaya, kita masih ingin menikmati dunia. Kita juga akan tertanya kenapa kita menjadi pilihan. Kenapa tidak orang yang tidak menjaga kesihatan, yang mengambil dan mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat. Kenapa kita yang begitu prihatin dengan segala yang menerima musibah. Sudah tentu bagi yang sambil lewa menjaga kesihatan diri pastinya tidak kecewa dengan musibah sebagai mana individu yang begitu menjaga segalanya.

Adakah ini saat kematian?
Saat mengetahui kita mengidap dan menderita sakit sudah pasti kita akan bertanya pada diri adakah penyakit ini bakal membawa kita pergi ke dunia abadi? Adakah ini saat kematian untuk kita? Pastinya bagi yang telah putus harapan akan merasa inilah saatnya, tiada lagi harapan, musnah juga segala cita-cita dan impian. Betulkah begitu? Jika begitu kenapa adanya konsep doa dan ikhitar. Maka sebenarnya penyakit itu bukan penentu kematian. Kita lihat ada ramai orang yang sihat walafiat, tiba-tiba kita mendapat berita dia meninggal dunia. Ada orang yang diuji dengan musibah seperti kerosakan alam contohnya banjir, tanah runtuh, kebakaran pun juga menemui ajal tanpa diduga. Oleh itu jika Allah menguji dengan derita kesakitan itu bukan semestinya saat kematian sudah tiba. Ada orang yang menderita sakit bertahun-tahun, terlantar dikatil, terbaring dipangkin namun tetap juga nyawanya tidak diambil Illahi. Oleh itu janganlah ktia berputus harap kepadaNya. Ingatlah ajal maut di tangan yang Esa. Dia yang lebih mengetahui sebab musabab kematian kita. apa yang perlu sediakanlah AMALAN secukpunya untuk bekalan di NEGERI ABADI.
Dipetik dari buku  yang bakal terbit; Inspirasi dan Motivasi Kesihatan Diri
Ummu ieman Ihsan 

Kiranya KITA sentiasa menjadi suri TELADAN

Salam ukhuwwah!

Salam Maal Hijrah yg tekah sebulan lebih berlalu, dan salam Tahun Baru Masihi 2012...

Cuba renungkan....

Ada saatnya kita tersilap perhitungan...hingga tidak benar benar berfikir dengan sebaiknya, lalu mengambil cara berfikir yg meniru 'trend' sedia ada! Lalu tindakan tindakan kita lebih merupakan suatu tiruan mengikuti orang lain....mengikut arus, meniru niru apa yang orang lain lakukan tanpa usul periksa samada yang ditiru itu benar disisi agama atau tidak!

Saya fikir anda setuju bahawa pendidikan/pentarbiahan yg paling asas adalah qudwah yang baik! Contoh/role model yang baik yang mesti dilakukan! Inilah yang berlaku....Apabila saya membelek belek akhbar2 utama hari ini, terlihat gambar gambar menarik sepanjang sambutan tahun baru masihi 2012, tahun baru Islam ialah Awal Muharram! Saya lihat kanak kanak sekecil 5 tahun, sudah berada dilapangan Dataran Merdeka (gambar itu diambil di sana di dalam akhbar), khabarnya sejak jam 8 malam lagi menunggu pesta tahun baru! Persoalannya ialah, sejak jam 8pm menunggu detik 12 tengah malam! Masa berlalu yang dibazirkan begitu sahaja utk proses tarbiah anak anak!

Bayangkan! Jika sejak umur 5 tahun sudah biasa tengok konsert, terdedah kepada hiburan, sudah dibiasakan dibawa untuk keluar pada waktu malam berhibur, sudah dibiasakan berada ditempat tempat hiburan, berkumpul ramai ramai! Bayangkan apa akan terjadi saat umur itu hingga dewasa! Itulah tarbiah kita kepada anak anak kita! 

Jangan nanti saatnya kita mengeluh atau merasa pelik atau hairan jika:
-anak itu akan terus terusan saban tahun menantikan saat tahun baru, tahun tahun ketika kecil mungkin dibawa oleh ibubapa, bila sudah dewasa, pergi sendiri!
-anak keluar malam sebab kita ibubapa yg ajar!
-anak suka pergi pesta pestaan sebab kita yang memberi contoh!
-mak bapak yang zaman mudanya bawa anak kecil ke tempat tempat begini, bila dah tua mengeluh melihat hal ehwal anak2 yang tidak lekat di rumah, di masjid pun tidak!
-walhal mak bapak masa tua tu sibuk minta anak anak tolong hantarkan ke masjid (saat ini kesedaran mendatangi, namun kita telah tinggalkan 'legacy' kepada anak2 dengan cara yang salah), tetapi anak anak tak peduli sebab mereka tiada di rumah dan sentiasa keluar rumah!
-untuk tengok ibubapa geleng kepala tengok anak anak punya perangai 'lagi putih dari omputih, lagi negro dari orang negro'
-warisan yg ibubapa tinggalkan ialah budaya yang terpahat jauh dalam minda dan kehidupan anak2 yang sekarang sudah dewasa!
-saya tak pelik untuk melihat ibubapa datang jumpa saya mengadu, kemudian salahkan faktor luar, salahkan kerajaan, salahkan media yang memberi pengaruh budaya negatif kepada anak anak, walhal mak bapak yang sama itu dulu masa muda terkinja sambil dokong anak anak kecil mereka merayakan malam tahun baru, sambil berhibur dan melihat konsert!
-dan macam macam lagi!

Bagi saya, kita punya pilihan! Pilihan pilihan itu ada didalam kehidupan kita! Mengapa dah terhantuk baru termengadah! Dah tua baru nak sedar dan insaf! Setelah kudrat tiada, sakit melanda, umur di penghujung...lalu kita membebel itu ini tentang anak anak yang berperangai bukan bukan! Nauuzubillah! 

Saya juga tidak mahu anak anak saya sedemikian, saya juga membimbangi anak anak saya berperangai ikut ikutan dengan cara Barat....namun saya sedar, jika kita sentiasa beri input positif dalam kehidupan, maka sekurang kurangnya kita ibubapa telah melakukan yang terbaik untuk mereka! Jika takdirnya mereka terjerumus juga dalam lembah kemaksiatan 'nauuzubillah' dikemudian hari nanti, saya pasrah dengan Allah, sebab saya telah berbuat yang sepatutnya untuk menghalang supaya ia tidak berlaku dengan mempersiap iman, jiwa, pemikiran anak anak supaya positif, diberi input dan ilmu agama yang teguh!

Kita punya pilihan....kita tak sedar selalunya bahawa pilihan yang kita buat sekarang memberi kesan berpanjangan kepada anak anak! Jangan menyesal kemudian hari! Buatlah pilihan pentarbiahan anak anak dengan betul dan tepat berlandaskan 'syariah compliance'! 

Tuesday, 20 December 2011

Mencari rasa jiwa....

Salam ukhuwwah....

Pernahkah kalian bangun pada suatu pagi....atau suatu hari lantas tiba tiba kalian merasa tiada 'mood', hilang semangat, hilang 'RASA'......itulah tanda hati yang layu dan 'kelaparan'. Dunia rasa kosong dan longlai...seolah olah masa berlalu amat perlahan! Segalanya menjadi serba tidak kena. Jika ada suami, maka suami akan dimarahi....jika ada isteri maka isteri pula yang dimarahi...jika ada anak, teman, saudara, jiran...semuanya menjadi mangsa...kebuluran hati menyebabkan amarah meningkat berlipat ganda!

Hati dimana terletaknya jiwa manusia itu perlu suapan suapan rohaniah..ia sentia perlukan sedemikian, setiap hari dan ketika...jika kalian sering menyuapnya dengan 'lauk pauk' dunia...hati dan jiwa kan kebuluran kerana kudapan 'hati dan jiwa' bukanlah lauk pauk dunia...akan tetapi santapan rohani berupa zikrullah yang terkandung dalamnya membaca alquran, bersedekah, beristigfar, bersilaturrahim, maaf memaafkan...malah jika meninggalkan kewajiban solat, hati dan jiwa turut GERSANG.....emosi mudah terganggu! Benarlah ungkapan bahawa bukan orang lain yang menzalimi jiwa kita....kita sendiri yang menzalimi jiwa dan hati kita.....!

Justeru...suburkanlah jiwa dengan membina Khalifah Jiwa dalam hati nurani...agar kita seimbang segalanya! Jangan biarkan RASA jiwa itu luput dan gersang, kelak ia akan memusnah dan merosak diri!!


Monday, 19 December 2011

Tawakkal Si Kecil...mampukah kita!!

Abu Faidh Thauban atau yang terkenal dengan nama panggilan Zunnun Al-Mishri
adalah seorang ahli Tasawwuf yang besar dari negera Mesir.


Diceritakan bahawa pada suatu hari Zunnun Al-Mishri pergi ke laut untuk
menjala ikan untuk menyara hidupnya dengan disertai oleh anak perempuannya
yang masih kecil.


Zunnun menebarkan jaringnya, tidak berapa lama kemudian jaring itupun
ditariknya. Dia beruntung kerana dapat menangkap seekor ikan. Anak
perempuanya yang ikut turun ke laut, menyaksikan bahawa mulut ikan itu
bergerak-gerak seperti orang berzikir. Apabila Zunnun menghulurkan tangannya
untuk menngambil ikan yang sudah dijangka menjadi rezekinya itu. Tiba-tiba
anaknya menghalangnya. Dengan pantas anaknya mengambil ikan yang masih hidup
itu dan mencampakkannya ke laut semula. Maka bebaslah ikan itu di alamnya.


Zunnun tidak dapat menghalang perbuatan anaknya itu dan hanya melihat dengan
penuh kehairanan.


"Mengapa kau membuang rezeki yang sudah kita perolehi?" Tanya Zunnun kepada
anaknya. Anaknya menjawab: "Saya tidak rela makan makhluk yang berzikir
kepada Allah".


Zunnun hairan terhadap jawapan anaknya itu kerana setiap ikan yang baru
ditangkap sudah tentu bibirnya bergerak-gerak. "Apa yang hendak kia buat?"
tanya Zunun lagi.


Anaknya menjawab: "Kita bertawakal kepada Allah semoga Dia memberi kita
rezeki benda yang tidak berzikir kepada Allah.


Kedua-duanya pun balik tidak meneruskan kerjanya sebagai penangkap ikan dan
mencari kerja lain sambil bertawakal kepada Allah. Setelah bekerja sampai
petang, keduanya belum juga mendapatkan sesuatu rezeki untuk dimakan
sedangkan perutnya sudah mulai lapar.


Apabila waktu Isya' sudah masuk, tiba-tiba Allah menurunkan hidangan dari
langit yang terdiri daripada berbagai jenis makanan, maka makanlah keduanya
dari rezeki itu. Keadaan seperti ini berlaku setiap malam dan berlangsung
lebih kurang dua belas tahun.


Zunnun menyangka bahawa kurnia dari Allah yang sangat istimewa ini adalah
disebabkan dirinya yang sangat rajin beribadah, solat, berpuasa dan berdoa
kepada Allah.


Apabila keaadaan ini sudah berlangsung lebih kurang 12 tahun, anak
perempuannya yang ikut kelaut sudah meninggal. Ternyata hidangan dari langit
tidak turun lagi berikutan kematian anaknya itu. Kini Zunnun menyedari
bahawa kurnia Allah yang turun pada keluarganya berupa makanan dari langit
itu bukan disebabkan kerana dirinya yang rajin beribadah dan berdoa, tetapi
disebabkan kerana ketinggian tawakal anak perempuannya yang sudah
meninggal."


ingatlah,kita yang harus mengawal hawa nafsu bukannya nafsu yang mengawal
diri kita.INGAT!!!KEANGKUHAN HAWA NAFSU TIADA TOLOK BANDINGNYA.




kalau kita, tak kisah selagi ada tanda halal tu, kita sesah je-

Tuesday, 13 December 2011

Kita sering tertanya2......mengapa ye!

Mencari cari segala jawapan....renungi bagaimana Allah telah menjawab kepada kita awal awal lagi! Hanya sanya kita ini TERLEPAS PANDANG!

JANGAN MENGELUH...........

Kita selalu Bertanya.... ......... .......dan Al-Quran sudah menjawabnya...............

KITA BERTANYA : KENAPA AKU DIUJI? > QURAN MENJAWAB
>"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," ("I am full of faith to Allah") sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta." > Al-Ankabut ayat 2-3

KITA BERTANYA : KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN? > QURAN MENJAWAB
> "Boleh jadi kamu membenci sesua tu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." > - Surah Al-Baqarah ayat 216

KITA BERTANYA : KENAPA UJIAN SEBERAT INI? > QURAN MENJAWAB
>"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. " >-Surah Al-Baqarah ayat 286

KITA BERTANYA : KENAPA RASA FRUST? > QURAN MENJAWAB
> "Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman." > - Surah Al-Imran ayat 139

KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA? > QURAN MENJAWAB
> "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah (be fearfull of Allah The Almighty) kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA? > QURAN MENJAWAB
> "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" > Surah Al-Baqarah ayat 45

KITA BERTANYA : APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI? > QURAN MENJAWAB
> "Sesungguhnya Allah telah membeli dari org2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... ?
> Surah At-Taubah ayat 111

KITA BERTANYA : KEPADA SIAPA AKU BERHARAP? > QURAN MENJAWAB
> "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." > At-Taubah ayat 129

KITA BERKATA : AKU TAK DAPAT TAHAN!!! > QURAN MENJAWAB
"..dan jgnlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yg kafir." > - Surah Yusuf ayat 12

WASIAT NABI MUHAMMAD S.A.W. kepada SAIDINA ALI R.A.;
> Wahai Ali, bagi orang 'ALIM itu ada 3 tanda2nya:
1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yg haram.
3) Merendahkan diri.

> Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda2nya:
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yg menimpanya.

> Wahai Ali, bagi org yg TAKWA itu ada 3 tanda2nya:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

> Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda2nya:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Wednesday, 30 November 2011

mencari...dicari...tercari cari !!

Salam ukhuwwah buat semua!!



Dalam perjalanan sebuah kehidupan.....kita kan ketemu berbagai babak, umpama drama yg sedang kita lakonkan...ada yang mendahului sesuatu cerita dan ada yg berupa kenangan yang kembali mahupun peristiwa yang berlalu....setiap satu penuh pengertian bagi yang mahu mengerti.....sebahagiannya pula ada beberapa BABAK dan peringkat dalam kehidupan kita dimana kita berusaha MENCARI.....

BABAK MENCARI...........kita MENCARI rezeki utk memulakan kehidupan, membina kehidupan, menampung kehidupan, meningkatkan kehidupan, mewarnai kehidupan dan berbagai sebab lagi....saat ini kita 'rempuh' segalanya sehingga ditemui apa yg dicari, kita gagahkan diri utk mendapat apa yg dicari, kita korbankan masa dan tenaga utk MENCARI...lantas kita mendapat anugerah hasil drpd apa yg dicari......jika MENCARI kebaikan maka berhasillah kebaikan, jika mencari harta maka hartalah yg didapati....jika MENCARI diri dan hakikat diri...insyaallah....diri itu akan ditemui akhirnya....pilihlah jalan mana, pilih kesemuanya atau sebahagiannya, namun yg pasti, akan ada yg TERTINGGAL, akan ada yg TERLUPUT.....pilihlah ia kerana pilihan ditangan kita....

BABAK DICARI.........seterusnya ialah kita DICARI oleh orang lain kerana bantuan kita amat dibutuhkan oleh orang lain, kerana orang lain menganggap kita telah berjaya lantas mereka mengharapkan kita boleh memberi sedikit panduan, tips,  kongsi pengalaman, motivasi dan sebagainya....saat ini kita perlu keluar dari kepompong MENCARI dan bersedia untuk DICARI....bersedialah utk merasa biasa utk DICARI oleh sesiap jua sekalipun samada keluarga, saudara mara, rakan dan sahabat atau sesiapa juapun walau mungkin sebelum ini mereka tidak pernah kita kenali, tidak rapat dengan kita...bersedialah utk beranggapan bahawa mereka perlu dibantu seupaya dan sedaya kita...saat ini cabaran terbesar ialah diri, samada kita bersikap sombong dan angkuh, bersikap mementingkan diri mahupun sering beranggapan bahawa semua yg mencari kita adalah mereka yg mempunyai kepentingan sendiri...justeru jgn mementingkan diri sendiri....

BABAK TERCARI CARI.......lalu kita TERCARI CARI.....samada kita telah selesai mahupun belum melalui proses DICARI CARI....ataupun kita masih lagi MENCARI CARI.....

samada kita TERCARI CARI : cabaran baru......atau sesuatu yg telah lama luput dalam kita melalui proses MENCARI atau DICARI.......atau kasih sayang baru seolah olah yg sedia ada telah pudar mahupun mengembalikan kasih sayang yg semakin kelam....atau  apapun jua.....

kita TERCARI CARI sesuatu yang mungkin bersifat dalaman bilamana kita telah berjaya MENCARI dan mengumpul segalanya yg bersifat lahiriah lantas menyedari bahawa apa apa yg dimiliki tidak bererti langsung bagi kita walau ia dilihat sangat diperlukan diketika dan saat itu (disebalik usaha, masa dan tenaga yg telah dijana untuknya) sekalipun berbanding kasih sayang, kebahagiaan, ketenangan jiwa, ketenangan fikiran, hubungan kemesraan sesama insan, damainya hati dan sebagainya yg sifatnya adalah spiritual dan emosi.....

kita TERCARI CARI hilangnya kemesraan, ketenangan fikiran, damainya hati, kebahagiaan disebalik apa yg kita telah lalui dalam kehidupan......dan akhirnya kita terus TERCARI CARI sesuatu yg kita langsung tidak pedulikan diketika kita MENCARI CARI suatu ketika dulu....lalu akhirnya tersedar bahawa segalanya telah sangat TERLEWAT....cukup terlewat buat diri ini......

Ya Allah berilah daku petunjuk disepanjang jalan ini...aku tidak tahu dan tidak mengerti hakikatnya walau realitinya seolah olah aku cukup tahu dan mengerti tentang kehidupanku sendiri.......amiin......



www.alwiyunus.blogspot.com
www.sakinahsalleh.blogspot.com
www.khalifahjiwa.blogspot.com

Tuesday, 22 November 2011

tiadalah manusia itu gundah gulana jika dia tahu apa yg dicari...Umar Al Khattab

tiadalah manusia itu gundah gulana jika dia tahu apa yg dicari...Umar AlKhattab




masalahnya sekarang ni, apa yang patut dicari pun, boleh jadi kita sendiri yang terlupakan.


Ungkapan ini sangat besar ertinya dari seorang abid yg terpuji dan tersenarai dlm sahabat yg dijanjikan syurga oleh Allah swt....itulah dia Umar Al Khattab dalam senandung malamnya dia merintih dan bermonolog dengan diri hingga lahirlah ungkapan sedemikian...inilah ungkapan manusia yg dikatakan oleh Muhammad saw iaitu 'jika ada Nabi selepas aku...maka dialah Umar' namun hakikatnya Muhammad ialah Nabi penutup dan tiada Nabi dan Rasul lagi selepasnya.

Kegundahan itu natijahnya dari jiwa, bukan dari kemahuan fizikal...gundah dan keluh kesah orang yg tinggi tahap keimanannya amat berbeza dengan org biasa, dan terlalu berbeza dengan mereka yang kufur. Keluh kesah dan gundah gulana itu lahir dari jiwa yg mencari...pencarian yg cukup berbeza juga bagi mereka yg tinggi tahap ketakwaan dan keimanan berbanding orang biasa.

Lihatlah kegundahan dan keluh kesah yg dialami oleh Saidina Ali karramallahu wajhah....bila mampirnya waktu solat, saat itu bertukar wajahnya menjadi kecut, pucat lesi dan penuh kegugupan walhal beliau ialah insan yang paling berani di medan perang, insan yg tidak punya takut dengan musuh musuh Allah dan musuh musuh Islam dan orang beriman...namun sebaliknya, apabila kedengaran azan, berdirinya beliau di tikar sembahyang, beliau gugup sekali..lalu sahabat yg lain bertanya, "mengapa wajahmu kelihatan seperti orang yg sangat sakit dan tenat"..lalu jawab Ali.."tidakkah kalian merasa takut untuk berhadapan dengan Raja Alam ini, Raja segala Raja, Penguasa Alam ini yg 'ditangannya' ialah azab yg sangat pedih yg tiada sesiapa sanggup menanggungnya...nah kalian, sebentar lagi kita kan menghadapnya...tidakkah kalian gentar???" Begitulah ungkapan Ali, natijah dari keimanan yg tinggi serta ketakwaan yg sebenar kepada Allah swt. Mengapa sedemikian?? Benar sesungguhnya Ali juga seorang manusia seperti kita semua, namun kegundahan yg lahir dan terserlah dari riak muka Saidina Ali bukanlah kegundahan kerana kosongnya jiwa, lerainya iman namun keluh kesah dan kegundahan kerana TAQWA nya kepada Allah, takutnya beliau kepada Allah swt.

Justeru...kegundahan manusia itu sebenarnya berbeza beza antara satu sama lain, namun aspek utama yg menjadi tunjang untuk mengelakkan diri merasa gundah gulana ialah dengan berpegang, berharap kepada Allah swt..itu sahaja, kelihatan mudah diungkap namun sukar sekali dilaksana...mengapa sedemikian??? Tidak kah benar bahawa segalanya hanya Allah yang menentukan..Allah yg menjadikan, Allah yg menghalang mahupun membenarkan sesuatu itu untuk berlaku ataupun tidak...jadi..mengapa perlu gundah, mengapa perlu keluh kesah jika segala pengharapan telah disandarkan kepadaNya...kita hany diminta untuk mengusahakan dan berusaha untuk mencapai sesuatu dengan cara dan kaedah yg benar mengikut prinsip prinsip yg tidak bertentangan dengan agama...selain dari itu serahkan kepada Allah, apa sahaja yg berlaku adalah kehendak Allah, samada baik atau buruk, cepat atau lambat...segalanya mengandungi hikmah dan pengajaran...natijahnya ialah pencarian itu sebenarnya ada dalam diri kita ada dalam pemikiran kita....ada dalam diri kita, kekadang pengajaran itu pahit dan tersangat pahit namun pantas berlalu, sepantasnya ia datang, manakala kebahagiaan itu lambat mendatangi dan menjengah kehidupan kerana pengajarannnya ialah mendidik jiwa untuk sabar dan menghargai dikala ia datang bertalu...yg tentunya ia berupa keseronokan, kesenangan, kegembiraan, hajat yg tercapai agar diketika kita mencapainya...kita tidak berlaku ujub dan riak, kita menjadi lebih bersyukur, lebih tawadhuk dan lebih meningkat ibadahnya daripada sebelum hadirnya sesuatu kebahagiaan itu....ia juga pengajaran agar sentiasa mengharap kepadaNya. Oleh itu, carilah diri, temuilah Illahi nescaya kegundahan itu akan berlalu sepi, dan yg datang ialah jiwa yg bahagia terpancar dari sosok yg bahaia dari hati yg beriman kepada Azza wajalla.

Khalifah Jiwa...membuka lembaran!

Assalam semua....

Khalifah Jiwa membuka lembaran.......buat pertama kalinya!

Diri ini adalah jiwa yang hidup....anda, kalian, kita, aku dan engkau, mereka semua...punya jiwa yang hidup mahupun mati....semuanya terpulang pada diri!

Kita tercari cari dan sentiasa mencari....kita fikir kehidupan inilah yang kita cari...rupanya apabila sampai dipenghujung usia baru kita sedari bahawa kehidupan yang telah berlalu itu bukanlah apa yang kita cari selama ini......itu jika kita masih berpeluang untuk menyedari, bagaimana pula nyawa yang disentap tiba tiba?? Sempatkah mereka! Aduh ruginya!

Jika kalian tanya mengapa Sang Penguasa bersumpah demi MASA....inilah sebabnya! Kita tercari cari, walhal masa terus berlari meninggalkan kita! Kita terus rugi dan sentiasa dalam kerugian besar besaran.....kerana dalam pencarian itu kita gagal memahami dan hanya menuruti naluri dan hati!

Jika kita tahu apa yang kita cari, tentunya kita tidak samasekali akan rugi! Aduhai insan! Aku menginsafi diri dan merasa amat terpanggil untuk berkongsi dengan saudara dan saudari! Tiada erti kehidupan ini tanpa mengerti apa yang kita cari!

Harta, wang, kemewahan, pangkat, status, pakaian, rumah, kereta, dan sebagainya...itulah mimpi tapi ia nyata...namun ia tidak sama sekali bererti melainkan kita tahu apa yang kita cari! Lalu dalam proses itu, segalanya melanda kehidupan kita....jiwa menjadi mati kerana jiwa hidup bukan kerana semua itu....

Yang dicari ialah ketenangan, namun tenangnya jiwa tidak dtg dgn dunia dan isinya...kita silap mengira bahawa harta dan kemewahan,malah miskin dan papa kan membawa ketenangan...kerana ketengan itu dijiwa..jiwa kan tenang jika isinya ialah ingatan kpd Yg Esa..lalu adakah kita masih tercari2 dimana?


dalam mencari, yang paling penting ialah tahu arah.

Lembaran Khalifah Jiwa ini mengajak kalian menelusuri isi hati agar kita bukan sekadar menjadi manusia tetapi kita jadi insan yang mengerti lalu DIA memberi......petunjuk dalam kehidupan ini!

Carilah dirimu dengan mencari Rabbmu...bagaimana??? Khalifah Jiwa adalah jawapannya!!!!